Apr 01, 2026 10PM
MyBHA Kelantan perhebat inisiatif pelancongan mesra Muslim
MyBHA Kelantan mengambil langkah memperkemas sektor pelancongan negeri dengan mengadaptasi Garis Panduan MFAR, sekali gus mempertingkat kualiti dan penarafan premis penginapan.
Pengerusinya, Masdiyah Jemain berkata pelaksanaan MFAR yang berkuat kuasa sejak 1 Jun 2024 merupakan langkah strategik bagi ahli MyBHA dalam memastikan premis penginapan bajet dan perniagaan memenuhi keperluan syariah serta kehendak pelancong Muslim yang semakin meningkat, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Dokumen MFAR memperincikan keperluan, kriteria serta proses pengiktirafan, sekali gus membantu pengusaha memahami piawaian mesra Muslim secara lebih jelas dan praktikal.
"Penarafan Lite diberikan kepada premis yang memenuhi keperluan minimum, manakala Emas dan Platinum masing-masing melibatkan pematuhan melebihi tahap minimum serta pencapaian tertinggi keperluan ditetapkan, sekali gus membuka peluang kepada ahli MyBHA untuk bersaing secara sihat dalam industri pelancongan," katanya dipetik Bernama.
Menurut beliau, walaupun keperluan pematuhan MFAR dianggap ketat, ia wajar dipatuhi oleh premis penginapan, khususnya di bawah MyBHA, demi menjamin penyediaan kemudahan halal dan toyyib kepada pengunjung.

kredit imej MyBha Kelantan
"Program seperti Sembang Industri bersama MyBHA Kelantan telah meningkatkan kesedaran dan kefahaman kira-kira 50 ahli mengenai kepentingan piawaian mesra Muslim yang diiktiraf Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
"Selain itu, ia turut menjadi platform perkongsian ilmu, pengalaman serta jaringan strategik antara pemain industri pelancongan melalui pengisian berbentuk taklimat, sesi interaktif dan soal jawab," katanya.
Masdiyah berkata, MFAR membuka ruang kepada ahli MyBHA termasuk premis tanpa penggredan MOTAC untuk memperkukuh daya saing dan menembusi pasaran pelancong Muslim global bernilai USD225 bilion melalui penarafan minimum MFAR Lite.
"Usaha pemasaran bilik hotel berpotensi menembusi pasaran global menerusi rangkaian yang disediakan oleh Pusat Pelancongan Islam (ITC) di bawah MOTAC," katanya.
Waktu Solat


02 Apr 2026
Waktu solat berikutnya,
Imsak
pada
05:55
















